Kerjaya politik Karl_Liebknecht

Semasa Perang Dunia Pertama

Pada Ogos 1914, beliau bersama Rosa Luxemburg, Clara Zetkin dan Franz Mehring membentuk kumpulan Liga Spartacus (Spartakusbund) yang menyuarakan bantahan penglibatan pemerintah Parti Demokrasi Sosial terhadap kegiatan peperangan Empayar Jerman dalam perang dunia ini. Liebknecht ditahan sekali lagi dalam suatu tunjuk perasaan anti-perang di Berlin pada 1 Mei 1916 lalu dipenjarakan atas dakwaan penderhakaan tinggi, asalnya selama dua setengah tahun dan kemudiannya empat tahun satu bulan.[2]

Liebknecht dibebaskan jua pada 9 November 1918, sehari selepas pembebasan Rosa Luxemberg. Pada hari sama juga Liebknecht mengisytiharkan pembentukan Freie Sozialistische Republik (Republik Sosialis Merdeka) dari balkon Berliner Stadtschloss, dua jam setelah Philipp Scheidemann mendeklarasikan Republik Jerman dari balkon Reichstag. Parti Komunis Jerman ditubuhkan 1 Januari tahun berikutnya dengan Rosa dan Karl dilantik sebagai ketua bersama.[3][4]

Liga Spartacus serta Pemberontakan dikepalainya

Suatu pemberontakan dicetuskan liga ini dari 5 hingga 12 Januari 1919 di Berlin. Beliau dan Luxemburg mulanya membantah tindakan ini namun berubah fikiran setelah ia dimulakan. Pemerintah pimpinan Friedrich Ebert mengarahkan bekas Tentera Darat Empayar serta militia relawan Freikorps untuk menumpaskan pemberontakan ini.

Tidak lama selepas pemberontakan ini dihapuskan pada 15 Januari, Liebknecht dan Luxemburg ditangkap pihak Freikorps pada 15 Januari 1919 dan dibawa ke Hotel Eden di Berlin di mana mereka disoal siasat dan diseksa selama beberapa jam.[5] Luxemburg dipukul dan ditembak mati dalam interogasi ini, dan mayatnya dibuang ke dalam Terusan Landwehr; manakala Liebknecht mati ditembak dari belakang ketika cuba meloloskan diri menurut catatan rasmi komander tersebut, Kapten Waldemar Pabst yang turut berkata "saya telah menghukum bunuh mereka".[6]